Amalkan tabiat gaya hidup sihat
Kanak-kanak sentiasa gembira apabila badannya sihat. Maka pastikan anak-anak mengamalkan gaya hidup sihat semasa di rumah. Pastikan anak mendapat tidur yang cukup dan tidur mengikut waktu yang ditetapkan setiap malam. Pastikan juga anak mengambil sarapan yang sihat. Galakkan anak bersenam, dan hadkan masa anak menonton televisyen atau bermain dengan gajet.
Patuhi rutin yang disediakan
Rutin membantu kanak-kanak membina sistem mengurus kehidupannya setiap hari dengan teratur. Contohnya di rumah, kanak-kanak dilatih mandi dan berpakaian sendiri, mengemas tempat tidur sendiri, dan bersarapan pagi sebelum ke tadika. Apabila balik dari tadika, pastikan dia meletakkan begnya ditempat yang ditetapkan, makan tengahari dan berehat atau tidur sebentar sebelum bermain dengan gajet atau dengan kawaan-kawan. Jika ada kerja rumah seperti membaca, pastikan anak anda melakukannya di sebelah petang. Pastikan anak anda minum air yang secukupnya setiap hari. Makan malam dengan keluarga adalah rutin yang sangat baik jika dapat diamalkan bersama anak-anak. Pastikan juga mereka tidur pada masa yang ditetapkan.
Sediakan ruang khusus untuk anak belajar/bermain di rumah.
Di tadika, anak ada ruang untuk belajar, meja dan kerusi untuk menulis dan bean bag atau sofa untuk duduk membaca. Di rumah juga kanak-kanak perlu ada ruang khusus untuk belajar. Sediakan bakul mainan dan rak buku kecil untuknya meletakkan buku-buku dan mainannya seperti di tadika.