Kenangan bersama anak anda di dapur mungkin menjadi pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan si manja anda. Bukan sekadar kenangan manis yang dapat dicipta, didikan di dapur juga dapat mencambah pengetahuan mereka tentang nutrisi-nutrisi penting yang harus diambil. Ibu bapa tidak perlu takut atau bimbang akan kehadiran anak di dapur kerana manfaatnya banyak sekali.
Dengan memasak masakan yang sihat bersama si manja, anda telah membina perkembangan minda yang sihat, melatih tumpuan, tenaga, keyakinan diri dan mencambah kreativiti mereka. Ilmu-ilmu ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperoleh dalam aktiviti-aktiviti yang lain. Anak anda akan mendapat ilmu di samping dapat mengawal pemakanan yang diambil.
Melakukan aktiviti di dapur bersama si anak memang menyeronokkan namun perlu diingat akan risiko yang mungkin timbul. Ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Pada awal tempoh pengenalan anak anda di dapur, sebaiknya anda memperkenalkan masakan-masakan yang lebih mudah dan tidak menggunakan peralatan-peralatan yang kompleks. Sebagai contoh, arahkan anak anda untuk memasak kek-kek mudah ataupun membuat telur hancur. Jika masakan itu melibatkan penggunaan perkakasan elektrik atau api, anak anda boleh disuruh untuk menyediakan bahan-bahan yang diperlukan dan anda akan memasaknya bersama anak.
Biarkan mereka yang menyediakan bahan-bahan. Jika mereka membuat kesilapan, bimbing anak dengan menyatukan tangan anda di atas tangannya dan masak bersamanya. Ini akan membuatkan dia rasa dihargai. Puji hasil kerjanya dengan bersungguh-sungguh. Mereka masih kanak-kanak dan memerlukan perhatian di atas setiap kerja yang dilakukan.
Apa yang paling menyeronokkan ketika memasak adalah ketika merasa makanan. Di sini, lidah anak anda adalah yang paling utama untuk merasa. Kata padanya yang anda tidak boleh merasa makanan dengan baik. Hanya anak anda sebagai harapan agar makanan yang dimakan oleh anda sekeluarga akan menjadi hidangan terbaik sepanjang hidup! Dia tentu berbangga.
Biarkan dia untuk memilih bahan-bahan seperti sayuran untuk dimasak. Apa yang menjadi keseronokan bagi kanak-kanak adalah masakan yang berwarna-warni. Pilihan sayur-sayuran yang berwarna-warni akan menaikkan selera mereka. Elakkan daripada memilih sayur-sayuran yang tidak segar. Biarkan anak-anak yang memilih bahan jika mereka berada di kedai-kedai atau di pasar raya. Mereka pasti menghargai “tugas-tugas khas” yang anda beri.
Kesimpulannya, dengan menjadikan masa di dapur bersama anak anda sebagai masa yang menyeronokkan, anda telah membina satu perhubungan yang baik di samping meningkatkan pengetahuan mereka mengenai dunia kulinari. Wah, seronoknya dapat memasak bersama chef cilik!