Gajet dan Kanak Kanak
Penggunaan gajet di kalangan kanak-kanak adalah fenomena biasa pada masa kini. Bahkan ada ibu bapa yang memperkenalkan gajet seperti telefon pintar dan tablet kepada anak mereka seawal peringkat bayi lagi. Ramai ibu bapa beranggapan bahawa gajet akan menarik perhatian anak yang tidak boleh duduk diam dan mudah bosan dengan keadaan sekeliling. Dengan alasan itulah, ibu bapa dengan mudahnya membenarkan anak-anak mereka menggunakan gajet ketika waktu makan, terutamanya ketika makan di luar rumah.
Bila Gajet Menguasai Meja Makan
Penggunaan gajet semasa makan oleh anak kecil adalah salah satu perangkap besar bagi ibu bapa kerana mempunyai kesan buruk dalam jangka masa yang panjang. Kesan yang boleh kita lihat pada kanak-kanak yang kerap menggunakan gajet ketika makan ialah perkembangan kognitif mereka menjadi perlahan. Hal ini disebabkan, kanak kanak lebih cenderung untuk fokus pada skrin gajet berbanding belajar cara makan yang betul. Seharusnya, waktu makan adalah waktu yang berharga untuk mereka dapat mencontohi adab serta skil makan dan minum (cara memakan dengan jari, menggunakan sudu dan garfu dan sebagainya) daripada orang sekeliling terutamanya ibu bapa. Tambahan pula, waktu makan boleh menjadi proses untuk kanak-kanak merasai dan mengenalpasti tekstur makanan yang dimakan dan mendengar arahan daripada ibu bapa.
Di samping itu, penggunaan gajet ketika makan turut melemahkan kekuatan fizikal dan kemahiran motor halus di kalangan kanak-kanak. Jika mereka hanya dibiarkan bermain gajet tanpa dikawal, mereka tidak dapat membiasakan diri untuk mengambil, mencarik dan menggenggam makanan yang dimakan. Bukan itu sahaja, anak kecil juga mempunyai risiko lemah untuk memegang sesuatu seperti pensil dan akibatnya lambat untuk menulis.
Banyak kajian menunjukkan kaitan obesiti di kalangan anak kecil yang bermain gajet terlalu lama. Apabila kanak-kanak mula tidak fokus pada deria dan bau makanan, mereka akan makan lebih daripada keperluan yang sepatutnya. Selain itu, isyarat rasa kenyang ke otak turut terbantut dan menyumbang kepada pengambilan makanan secara berlebihan. Malahan, ada juga iklan di gajet yang mempromosikan makanan tidak sihat dan menarik minat kanak kanak untuk memilih makanan tersebut.
Ibu bapa tidak perlu risau tentang anak yang aktif di meja makan. Sekiranya pergerakan fizikal kanak-kanak terhad, ianya akan memberi kesan kepada perkembangan otot si kecil sekaligus dapat menjejaskan postur dan proses kawalan tubuh yang baik. Perlu diingatkan bahawa kurangnya pergerakan fizikal bukan saja meningkatkan risiko obesiti, bahkan ia boleh menjadi penghalang kepada perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak. Kanak-kanak yang tidak menggunakan gajet semasa waktu makan lebih mudah untuk bertutur dan berkomunikasi berbanding mereka yang makan sambil menggunakan gajet.
Gajet Bukanlah Penyelesaian Untuk Diam
Hakikatnya, ibu bapa tidak perlu memberikan gajet untuk mengawal pergerakan atau menggantikan kebosanan kanak-kanak ketika waktu makan. Ibu bapa perlu kreatif untuk mewujudkan suasana yang menarik minat si kecil makan dengan selesa. Sebagai contoh, mulalah dengan bercerita tentang perkara-perkara yang berlaku semasa si Ayah atau Ibu bermain dengan kawan-kawan semasa kecil dahulu … tentang permainan yang tidak lagi dikenali oleh kanak-kanak zaman ini.
Adalah satu bentuk kerugian bagi ibu bapa jika terus menerus membiarkan kanak-kanak dengan gajet di meja makan kerana waktu makan ialah waktu yang seharusnya di manfaatkan untuk berkomunikasi dengan mereka berbanding waktu lain yang dipenuhi dengan komitmen kerja dan tugas rumah yang banyak.
Bacaan Berkaitan : Adakah Penggunaan Gajet dalam Pendidikan Peringkat Awal Menghasilkan Kanak-kanak yang Lebih Bijak?
Bacaan Berkaitan : 5 Teknik Bercerita Berkesan Untuk Anak
Rujukan: